Memberi kecerdasan buatan sedikit keupayaan sosial
Mesyuarat Tahunan bagi Juara Baharu 2016 di Tianjin, China, menampilkan antara lain, debut yang luar biasa: SARA, Pembantu Robot Sedar Sosial yang boleh berinteraksi dengan orang ramai dengan cara yang serba baharu. Bukan sekadar menggantikan peranan pembantu manusia atau memproses dan menyampaikan maklumat dengan cara yang tidak dipengaruhi atau melibatkan perasaan peribadi, SARA berbeza: intuitif, mesra, menawan dan direka untuk “berkolaborasi” dengan pengguna manusia, mengecam dan bertindak balas terhadap ekspresi wajah, mempelajari pilihan dan meningkatkan prestasi tugas berdasarkan pengguna yang ditemuinya. SARA juga diatur cara untuk mempelajari petunjuk sosial tertentu, menganggukkan kepala semasa pengguna bercakap dan memahami intonasi yang berlainan.
Setengah tahun kemudian, pada bulan Januari 2017, projek ini telah dibentangkan di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. Di sana, projek ini merupakan satu-satunya demo yang akan ditampilkan di Pusat Kongres Davos. SARA berkhidmat sebagai pembantu peribadi maya yang menawarkan maklumat tentang sesi yang dibentangkan kepada hadirin, memperkenalkan mereka kepada para hadirin yang lain, mencadangkan tempat untuk mendapatkan makanan dan banyak lagi.
Pada mulanya, SARA berkhidmat sebagai pembantu peribadi maya dengan aplikasi khusus—menawarkan bantuan pada persidangan dan berinteraksi dengan tetamu. Beliau dapat belajar tentang kepentingan dan matlamat pemimpin global dan kemudian mengesyorkan sesi yang mereka mungkin ingin hadiri. Lebih baik lagi, SARA boleh menggunakan perbualannya untuk membina hubungan dengan setiap orang yang bercakap dengannya, mempelajari lebih banyak tentang pilihan dan matlamat mereka—dan setelah melakukannya, beliau dapat meningkatkan prestasi tugas dalam perbualan yang akan datang dengan menawarkan lebih banyak bantuan yang lebih diperibadikan.
Beliau ialah ciptaan Articulab, satu pasukan kecil yang berpangkalan di Carnegie Mellon University yang misinya termasuk mengkaji interaksi manusia dalam konteks sosial dan kebudayaan sebagai input ke dalam sistem pengkomputeran, yang seterusnya dapat membantu kita memahami interaksi manusia dengan lebih baik. Bagaimanakah manusia berkomunikasi dengan teknologi dan bagaimanakah komunikasi itu dapat ditingkatkan secara beransur-ansur? Memupuk ikatan sosial adalah kunci, sama seperti pentingnya ikatan sesama manusia. Seperti yang dinyatakan oleh pasukan Articulab tentang SARA: “Daripada mengabaikan ikatan sosioemosi yang membentuk jalinan masyarakat, SARA bergantung pada ikatan itu untuk meningkatkan kemahiran kolaborasinya.”